Friday, January 8, 2010

Apabila ombak memukul pantai

Setelah kian lama aku tidak menulis kerana kesibukan amanah yang di pikul, kini aku kembali ke keyboard semula, tetapi dengan jalan penulisan yang berlainan. Aku memilih untuk memuatkan kompilasi puisi yang pernah aku coretkan dalam menjalani kehidupan harian. Untuk permulaan semula ini aku perturunkan puisi yang aku coretkan semasa berada di pantai Mediterranean tidak jauh dari Malaga, Sepanyol.
Apabila ombak memukul pantai
Dalam kesepian perjalanan
ada bayu menjadi teman
dalam terik matari petang
ada bayu yang mendinginkan
dalam kepedihan mata menentang sinar
ada awan yang melindungkan
Perjalan ini kian jauh
kadangkala mencari tujuan yang tak pernah nyata
kadangkala mencari pelangi yang kian melari
aku mengerti, erti sebuah perjalanan
ibarat jarum jam yang bergerak
aku merenung setiap detik itu
sering aku bertanya bila ia akan berhenti
Pabila aku renung kesan hentian itu nanti
aku menjadi cemas
aku bertanya sendiri
dimana aku berada?
aku menoleh ke kancah yang aku bawa
aduh! mengapa bekalan amat berkurangan
lalu, aku hentikan perjalanan ini
disuatu sudut pantai yang sepi
lantas aku menghitung buih-buih ombak yang memukul pantai
Dalam lamunan dini petang
aku terjaga dengan kesayupan azan
walau jauh kedengaran, namun menusuk kejiwa ini
Aku terhenti lalu bersujud
mencari bekalan untuk meneruskan perjalanan ini
Malaga 1992
IBA

No comments:

Post a Comment